Sukan SK Padang Berampah Tahun 2010

Jumaat, 29 Januari 2010

Acara :Sukan Tahunan SKPB 2010
Tarikh :27-28 Jan 2010
Tempat :Padang SFI Sipitang



Kursus Pengurusan Pendidikan Islam GPI dan j-QAF

Kursus : Kursus Pengurusan Pendidikan Islam GPI dan j-QAF
Tarikh : 26 /01 / 2010
Tempat : PPD Sipitang

Antara Agenda:

  • Taaruf
  • Perlantikan Pengerusi GPI
  • Perlantikan Pengerusi j-QAF
  • Edaran Pekeliling Penempatan Semula Guru j-QAF
  • Pengurusan Pendidikan Islam
  • Pengurusan Kurikulum Pendidikan Islam
  • Pengurusan Fail
  • Semakan dan Penempatan GPI di Sipitang
  • Perbincangan Mengenai masalah yang di hadapi GPI dan j-QAF

JPA nafi COLA dan ITP ditarik balik

Sabtu, 23 Januari 2010

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), hari ini menafikan laporan yang mendakwa pembayaran elaun sara hidup (COLA) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) yang dinikmati penjawat awam akan ditarik balik.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam ketika dihubungi Bernama di sini berkata: "Itu semua khabar angin dan tidak benar".

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan laman blog dan penyebaran SMS yang mendakwa bahawa kerajaan akan menghapuskan pembayaran COLA dan ITP penjawat awam sebagai langkah penjimatan perbelanjaan negara.

Semalam, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman menafikan khabar angin itu dan berkata jika ia dilaksanakan, sudah pasti ada surat pekeliling dengan ditandatangani secara rasmi oleh pihak berkenaan dan diedarkan untuk pengetahuan kira-kira sejuta penjawat awam.-Bernama

Digantung@buang sekolah akibat tidak pakai topi keledar

Isnin, 18 Januari 2010

KA SIONG (tengah) bersama Suret Singh (kiri) dan Kay memakaikan topi keledar kepada tiga orang murid di Gelang Patah, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU - Mana-mana pelajar sekolah yang 'besar kepala' dengan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal ke sekolah mungkin berhadapan tindakan gantung atau buang sekolah selepas ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan tersebut jika pelajar terbabit masih tidak berubah meskipun beberapa kali diberikan kaunseling termasuk memanggil ibu bapa pelajar terbabit ke sekolah.

"Pemakaian topi keledar amat penting kerana berdasarkan statistik baru-baru ini, 2,000 daripada 6,000 kemalangan maut adalah melibatkan penunggang motosikal.

"Sekiranya pelajar enggan memakai topi keledar, tidak kira di kawasan pedalaman atau bandar, pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan peraturan itu jika pelajar masih tidak berubah meskipun ibu bapa telah dipanggil dan diberikan kaunseling berkali-kali," katanya.

sumber:kosmo

Kaedah Pengajaran dan pembelajaran berkesan

Sabtu, 16 Januari 2010

Ada dua perkataan yang hampir-hampir sama maksudnya dengan kaedah dan ia memang tergolong dalam kaedah juga, iaitu teknik dan pendekatan. Mok Soon Seng (1992) mengatakan pendekatan ialah cara mendekati sesuatu mata pelajaran. Iaitu cara bagaimana suatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya. Jadi ia merupakan satu set teori yang sistematik. Kaedah pula ialah satu siri tindakan yang sistematik dengan tujuan mecapai objektif pelajaran dalam jangka masa pendek. Kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah penyampaian yang tersusun (Mok Soon Seng 1992). Manakala teknik pula ialah kemahiran guru dalam pengelolan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Mengikut Azman Wan Chik (1987) teknik itu apa yang dilihat dalam bilik darjah. Kalau guru mengajar bahasa dengan menggunakan alat-alat komunikasi canggih dalam makmal bahasa, maka itu satu teknik. Sekiranya seorang guru Pendidikan Islam mengajar pelajar menghafaz Al-Qur`an dengan mendengar bacaan dalam pita kaset, maka ini dikatakan teknik.

Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) mengatakan bahawa kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur. Hasan Langgulung (1981) pula mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi, apa saja cara yang guru lakukan untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran, maka itu adalah kaedah. Melihat kepada misal-misal yang diutarakan oleh Sharifah Alwiah Alsagoff (1986), Mok Soon Seng (1992), Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib (1995), Atan Long (1980) dan Mahfudh Salahuddin (1987), nampaknya yang dikatakan kaedah itu ialah yang ada nama, seperti kaedah kuliah, demonstrasi, Socrates, simulasi, inquiri penemuan, Forebel dan sebagainya.

Abu Saleh (1988) mengatakan bahawa kaedah itu ialah satu aktiviti pengajaran yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam tiap-tiap langkah itu pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang. Padanya, kaedah mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran, tetapi ia merupakan wasilah, iaitu satu jalan untuk mencapai obektif pengajaran.

Demikian juga dengan Hasan Langgulung (1981) mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi apa sahaja cara tiandakan dan aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran maka itu adalah kaedah, walau pun ia tidak mempunyai nama-nama khas, seperti yang dibawa oleh Sharifah Alwiah, Atan Long (1981) dan lain-lain.

Berdasarkan kepada ini bermakna tidak ada satu kaedah yang terbaik untuk semua mata pelajaran bagi semua pelajar dalam semua keadaan. Kaedah harus berubah mengikut keadaan masa, tempat dan pelajar. Dengan demikian, guru harus pandai memilih kaedah yang baik, yang sesuai dengan keadaan masa, tempat dan pelajar.

Al-Kailany (1986) menyenarai sedikit panduan kepada guru sebelum mengaplikasi sesuatu kaedah pengajaran, antaranya ialah:

1. kaedah mestilah secucuk dengan tujuan dan matlamat pelajaran

2. kaedah mesti sejajar dengan objektif pelajaran yang
hendak dicapai

3. kaedah juga haruslah sesuai dang tabiat (nature) pelajaran
yang diajar

4. kaedah mesti sepadan atau setara dengan umur pelajar

5. kaedah itu mestilah yang boleh atau mampu diaplikasi oleh guru

6. mempunyai masa yang cukup untuk mengaplikasikan kaedah
bekenaan

7. kaedah yang dipilih mestilah sesuai dengan kemudahan yang
ada.

An-Nashmy (1980) mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar yang diajar, malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar. Dengan cara ini pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama. Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik.

Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Di samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas. Strategi pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Congelosi (1992) mencadangkan bahawa setiap pengajaran harus terlebih dahulu disediakan rancangannya dan dalam rancangan pengajaran ini harus mempunyai perkara-perkara berikut, iaitu:

1. Tujuan am (learning goal)

2. Objektif pelajar (specific objective)

3. Langkah-langkah pengajaran yang mengandungi aktiviti-aktivit
tertentu untuk menolong pelajar mencapai objektif pelajaran

4. Perlu ada makanisma untuk memantau kemajuan pelajar

5. Penilaian (sumative evaluation) untuk mengukur
pencapaian
pelajar

Kata Cangelosi (1992):

Learning goal is the overall purpose of the teaching unit. It indicates what students are expected to learn.

Specific objective, define the learning goal. That is a number of specific skills, abilities, and/or attitude that the student to/or must acquire. (ms. 24)

Perrott (1986) menerangkan semua aktiviti itu dalam tiga istilah yang lebih mendasar, iaitu: 1) Planning 2) Implementation 3) Evaluation

Tiga perkara ini dan juga langkah-langkah yang dikemukakan sebelum ini merupakan asas pengajaran yang berkesan, di sampiang pengetahuan yang patut ada pada guru. Langkah-langkah ini disusun demikian rupa untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran sesuatu yang menarik dan berkesan. Ini yang dikatakan pengajaran yang berkesan (effective teaching). Pengajaran dan pembelajaran yang baik, menarik dan berkesan tidak dapat diwujudkan jika tidak memenuhi kriteria tertentu seperti yang dibincangkan di atas. Guru yang mampu menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ini ialah guru yang didikasi, mempunyai wawasan yang jelas dan mengajar dengan penuh semangat untuk mencapai objektif yang terancang dengan langkah-langkah yang tersusun dengan menggunakan BBM yang menarik dan dengan pergerakannya yang cukup lincah. Inilah dia guru yang efektif (effective teacher).

“…effective teacher is one who is able to demonstrate the
ability to bring about intended learning goals”.
Parrott (1986:5)

Oleh itu, guru haruslah merancang dengan cukup rapi sebelum memasuki kelas. Ini termasuklah strategi pengajaran yang merangkumi isi kandungan, objektif yang hendak dicapai, pendekatan, kaedah dan teknik penyampaian, BBM yang sesuai dan penilaian yang akan dijalankan. Satu yang perlu diingatkan ialah tentang pendidikan Islam atau penerapan nilai Islam. Ini juga harus dirancang dengan saksama. Iaitu apa yang hendak dipesan kepada pelajar, apa nasihat yang akan diberi, apa nilai yang hendak ditonjokan supaya pelajar ikut dan contohi dan sebagainya. Guru harus sedar bahawa mata pelajaran Pendidikan Islam bukan sahaja untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk menjadi seorang Islam yang beramal dengan ajaran Islam dengan cara yang betul.

Jadi, penekanannnya ialah penghayatan Islam, bukannya peperiksaan. Kalau guru mengajar terlalu terikat dengan orientasi peperiksaan, guru hanya berjaya menyampaikan ilmu Islam, tetapi gagal memberi pendidikan Islam, iaitu gagal mendidik anak-anak untuk menjadi orang Islam bagi memikul tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah.

Demikian juga dengan istilah guru berkesan (effective teacher). Ia bukan sahaja memberi kesan dalam bidang pelajaran yang diajar, mudah faham dan diminati oleh pelajar, tetapi yang boleh menjadi contoh kepada pelajar dari segala aspek personaliti, kerana personaliti guru mempengaruhi sikap pelajar (Huitt, 1994). Ini termasuklah gaya bercakap, kekemasan berpakaian, penghayatan nilai Islam, penjagaan masa pengajaran (engagement time), ketepatan masa dalam setiap perjanjian, keadilan dalam layanan dan sebagainya. Ini semua mencerminkan guru muslim (Al-Ghazali, 1988; Al-Ibrashy, 1976).


sumber: pend.Islam

Hormati guru anda

Jumaat, 15 Januari 2010

Sesi persekolahan baru sahaja bermula minggu ini. Bagi yang pertama kali melangkah masuk ke alam persekolahan mahupun pelajar lama, semoga tahun 2010 memberi semangat baru buat anda untuk cemerlang dalam pelajaran.

SIKAP menghormati guru adalah amalan mulia dan sangat dituntut.

UNTUK cemerlang dalam pelajaran, insan paling bertanggungjawab membentuk pelajar ke arah itu adalah guru yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar pada setiap masa.

Ilmu yang dicurahkan oleh guru amat penting bagi menjadikan seseorang itu insan berguna pada masa hadapan. Jadi, guru mesti dihormati kerana jasa mereka tidak akan terhitung oleh kita.

Pada asasnya, tugas hakiki seorang guru adalah mengajar di sekolah. Guru mendidik pelajar supaya menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Mereka juga merupakan ibu bapa kedua kepada pelajar memandangkan banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding di rumah.

Pelbagai cara boleh dipraktikkan untuk menghargai jasa guru yang tidak pernah jemu-jemu mencurahkan bakti tanpa mengenal erti jemu.

Guru tidak pernah meminta wang ringgit dan harta sebagai balasan. Cukuplah setiap pelajar menghormati mereka dengan mengucapkan selamat sejahtera apabila berjumpa.

Tidak salah kalau menyapa guru ketika berselisih di luar kawasan sekolah sekalipun.

Dengan cara itu, bukan sahaja dapat menunjukkan sikap menghormati guru, malah dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka demi kebaikan bersama.

Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah. Mereka mesti menghantar kerja sekolah mengikut masa yang ditetapkan.

Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Dengan ini, pelajar dapat belajar daripada kesilapan.

Sikap dan disiplin diri seorang pelajar di sekolah juga adalah penting. Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara berdisiplin semasa di sekolah.

Secara tidak langsung, ini boleh menjadikan mereka lebih tekun dalam pelajaran dan seterusnya berjaya dalam hidup.
GURU bertanggungjawab mendidik anak bangsa mengenal apa yang baik dan buruk bagi mengharungi masa depan yang lebih bermakna.

Mereka juga perlu mematuhi peraturan sekolah. Sebagai contoh, mereka perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, melepak dan lain-lain. Oleh itu, jadilah pelajar yang berdisiplin.

Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru juga sebahagian tanda hormat dan penghargaan seseorang pelajar.

Dengan membuang masa dan membuat bising dalam kelas ketika guru sedang mengajar adalah tindakan yang menunjukkan pelajar tidak menghormati guru.

Jika sikap seperti ini berterusan dan tidak diperbetulkan, ia akan merugikan masa depan pelajar terbabit.

Sebelum terlambat, ubahlah sikap dengan berusaha sebaik mungkin menghormati dan mengenang jasa guru.

Jika di rumah, ibu bapa adalah insan yang perlu disayangi, manakala di sekolah pula guru umpama ibu bapa. Jadi, sebagai pelajar, anda boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru.

Ia boleh dilakukan dengan dengan membawa buku-buku ke bilik guru, selain memberi hadiah tanda ingatan semasa sambutan Hari Guru.

Namun, apa lebih penting guru akan rasa dihargai apabila pelajar dapat meluangkan masa untuk menziarahi mereka ketika terlantar sakit. Mereka akan berasa disayangi dan diingati sepanjang masa.

Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri dan menerangi hidup orang lain.

Lagipun, guru telah berjaya melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Janganlah jadi salah seorang yang merugikan masa depan sendiri. Tepuk dada tanya selera. - NUR AISHAH MOHD. AMIN

Tulis Jawi kaedah AVU ZAR zad

Khamis, 14 Januari 2010

KAMPUNG MORAK - Dilema golongan yang pandai membaca Jawi, tetapi tidak tahu menulis bakal berakhir apabila satu kaedah belajar menulis Jawi melalui kaedah AVU ZAR Zad diperkenalkan hasil ciptaan seorang guru j-Qaf, Mansor Mohammad di sini untuk semua peringkat umur.

Mansor merupakan guru j-Qaf dari Sekolah Kebangsaan Kampung Kandis, Pasir Puteh mula memperkenalkan kaedah AVU ZAR Zad hujung tahun lalu selepas idea asalnya daripada seorang guru pendidikan Islam dari Labuan.

Menurutnya, kaedah pembelajaran Jawi melalui AVU ZAR Zad, menggunakan kad dalil (paduan) Jawi memudahkan pelajar mencantumkan huruf Jawi menjadi satu ayat.

“Ramai menghadapi masalah membaca tulisan Jawi dan tidak tahu menulisnya dan melalui kaedah AVU ZAR zad ini, masalah menulis tulisan Jawi dapat diselesaikan kerana kad dalil memudahkan pelajar menyambung huruf Jawi menjadi satu perkataan,” katanya.

Menurutnya, dia telah memperkenalkan kaedah AVU ZAR Zad ini kepada pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah serta guru kerana melalui kaedah ini, ia mudah dipelajari seawal umur enam tahun ke atas.

“Bagaimana pun, ia bergantung kepada peringkat umur seseorang untuk membolehkan mereka pandai menulis Jawi tanpa perlu merujuk kepada kad dalil jawi ini setelah mengikuti program AVU ZAR Zad ini.

Mansor berkata, sesiapa berminat untuk berkongsi pengalaman boleh menghubunginya menerusi talian 019-9492277.

Related Posts with Thumbnails
 
 
 

Hiburkan Hati