Digugurkan sebagai perkhidmatan guru

Jumaat, 12 Mac 2010

KUALA TERENGGANU - Golongan pendidik yang baru tamat pengajian tetapi gagal melaporkan diri untuk berkhidmat mengikut tarikh ditetapkan berhadapan tindakan digugurkan sebagai guru.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, meskipun kes tersebut adalah terpencil namun, amaran perlu dikeluarkan bagi mengatasi masalah kekurangan guru khususnya di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak.

“Kebanyakan guru tidak menolak untuk ke pendalaman cumanya ada segelintir sahaja guru yang kita suruh pergi, dia tak mahu pergi. Isu kekurangan guru berpunca daripada guru opsyen.

“Guru opsyen ini seperti guru Sejarah, Kemahiran Hidup dan Bahasa Inggeris. Kebanyakan mereka berpindah tetapi tidak ada ganti. Kalau contohnya seorang guru itu sanggup ke pendalaman memandangkan ia kampung halamannya, kalau dia mengajar agama, guru itu tidak boleh mengajar Bahasa Inggeris kerana standardnya tidak akan sama seperti yang kita (kementerian) mahukan,” katanya di sini, semalam.

Mohd Puad berkata, guru yang digugurkan bagaimanapun masih boleh membuat rayuan dengan mengemukakan bukti dan alasan yang boleh menjadi pertimbangan kepada pihak kementerian untuk dikekalkan sebagai guru.

Menurutnya, guru yang berkhidmat tidak dikecualikan untuk ditempatkan ke kawasan pendalaman.

Kaji semula sistem PTK

Khamis, 11 Mac 2010

PUTRAJAYA- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dikaji semula termasuk daripada segi kenaikan pangkat dengan tidak hanya mengutamakan mereka yang lulus cemerlang tahap empat sahaja.

Sebaliknya, Presiden Cuepacs ,Omar Osman berkata, penjawat awam yang lulus tahap tiga namun berpengalaman dan menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang, juga perlu diberikan keutamaan untuk kenaikan pangkat.

Ini kerana, beliau berkata, sejak PTK diperkenalkan pada 2002, kakitangan lama memang sukar untuk mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PTK berbanding kakitangan muda.

"Cuepacs menyarankan agar sistem PTK ini dikaji semula selaras dengan hasrat pentadbiran kerajaan yang mahukan penjawat awam melalui beberapa transformasi dan perubahan pada perkhidmatan mereka," katanya hari ini.

Mengikut sistem PTK, mereka yang lulus tahap empat layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat dan anjakan gaji manakala lulus tahap tiga layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat.-Bernama

Related Posts with Thumbnails
 
 
 

Hiburkan Hati